Author Archive for cadar station



14
Feb
11

UNTUK PENGANTIN…

Sejak dari awal, banyak yang bertanya kenapa Cadar Station tak jual cadar pengantin. Susah juga nak jawab, lebih-lebih lagi apabila pertanyaan itu datangnya daripada wakil-wakil jualan kami.

Tetapi sekarang, yang pernah bertanya itu dah tak perlu bertanya lagi. Kami penuhi hajat mereka. Mulai minggu ini kami cuba bawa masuk set cadar pengantin pula. Dan macam biasa, kami kekal dengan dasar asal kami, berusaha menjual sesuatu yang berkualiti dengan harga yang rendah.

Set-set cadar pengantin kami pun begitu. Kualitinya memang teruji kerana sebelum memasukkannya ke dalam senarai produk yang nak dijual, kami dah test dulu. Dah bagi dua tiga kawan dan saudara cuba semasa musim nikah kahwin Disember lalu. Berpuas hati dengan respons mereka, kami putuskan untuk menjual set-set pengantin ini.

Harga yang kami tawarkan sangat berbaloi. Hanya RM160 untuk satu set. Banyak pilihan warnanya. Yang terpapar di sini cuma satu, dan kalau nak tengok lebih, jom lawati galeri kami.

Jadi kepada anda yang nak berkahwin, atau nak menghadiahkan set cadar kepada kawan rakan/ handai taulan yang nak menaiki pelamin, eloklah pakat-pakat pertimbangkan set-set ini. Susah dah nak jumpa yang cantik, berkualiti dan murah macam ni…

13
Feb
11

OFFER!…ODD SET!

Kami namakan ia ‘set ganjil’ bukanlah kerana bentuk atau rekacoraknya pelik. Bukanlah juga kerana ia mempunyai kuasa magis yang membolehkan tilam anda terapung di udara dan sebagainya.

Tidak.

Sebaliknya set ini menjadi ganjil kerana ia tiba-tiba muncul dalam stok terbaharu kami. Stok itu sampai Khamis lalu. Kelazimannya, setiap set yang sampai itu mempunyai ‘kawannya’, mengikut kuantiti yang kami pesan.

Tetapi, ada keempat-empat set ini ganjil sikit. Masing-masing muncul secara tunggal – tanpa kawan. Ini menyulitkan kami, terutama dalam urusan nak mengkatalogkannya.

Jadi, sebagai jalan keluar, kami membuat keputusan untuk menjual keempat-empat set ini dengan semurah mungkin. Sekadar nak ambil balik modal. Nak tahu berapa harganya, jom lawati galeri kami

12
Feb
11

CATATAN MENJELANG SUBUH

Dua tiga hari ni rasa jauh sangat dengan screen, keyboard, mmouse dsb.

Yang dekat cuma dengan highway…tol…tol…dan tol.

Banyak keluar. Banyak bergerak. Semalam ke utara, hanttar pesanan Fauzi, salah seorang wakil kami di utara. Sendat habis satu kereta.  Dia tak dapat datang ambil sendiri kerana sibuk dengan peperiksaan pengesahan jawatan. Atas nama tanggunggungjawab nak pastikan segala cadar, comforter dan apa sahaja yang dipesan sampai dengan sempurna, saya cuba juga cari masa untuk memastikan pesanan itu sampai ke tangannya. Sejak dahulu saya percaya bahawa ‘masa memang banyak, tetapi ia selalunya tak ada kalau tak dicari!’

Bercakap tentang hasrat hendak melihat semua pesanan sampai dengan sempurna ini, sekali lagi saya nak ulang bahawa kalau boleh kami memang nak hantar sendiri semua pesanan sehingga ke depan pintu pelanggan. Tapi apalah daya, kudrat terbatas. Kekangan juga banyak. Jadi nak tak nak, mau tak mau, terpaksa juga pos.

Bila pos, faham-faham sajalah.

Saya tak mau kata perkhidmatan Pos Malaysia tak bagus. Mereka dah banyak ‘bantu’ saya walaupun bukan dengan percuma. Tapi kadang-kadang saya tak berapa faham dengan perkhidmatannya.  Ada masanya cepat sangat, pada masa yang lain pula…alahai…membuatkan kita tertanya-tanya ‘dia orang ni pergi hantar berjalan kaki ke?’.

….bersambung

Er, jon ke GALERI KAMI…ada yang baru menanti di sana sejak semalam.

11
Feb
11

CATATAN TENGAH MALAM…

Sebelum ke Semenyih pagi tadi, singgah pejabat pos. Nak pos parcel-parcel cadar yang perlu diselesaikan hari ni.

Dan di situlah ia terjadi…

Saya dah agak, suatu hari ia pasti terjadi. Waktu ‘mengusung’ bungkusan cadar yang pertama (maksudnya yang pertama saya  jual secara online dan yang pertama saya bawa ke pejabat pos), hati ini dah berkata, ” Macam mana kalau orang (kawan, rakan, bla…bla…) nampak?’.

Tapi sebagaimana nekadnya saya nak serius dalam bisnes ini, begitu juga nekadnya saya ketika itu. Lantaklah.

Jadi bila terserempak dengan hamba Allah itu pagi tadi, saya buat selamba saja. Apa nak kisah. Bukannya usung peti sejuk curi. Dia pun mulanya tak kisah juga sebab menyangka saya hanya menghantar bungkusan kepada anak ke, saudara mara ke atau apa-apa ke.

Tetapi disebabkan dia ternampak banyak bungkusan lain dalam kereta saya, maka soalan yang saya jangka pun keluar…bungkusan apa? kenapa banyak sangat? nak hantar ke mana? Biasalah orang kita ni, kalau hal-ehwal orang semuanya dia nak tahu…

Bila saya beritahu perkara sebenar, seperti yang saya jangka juga, dia terkejut.

“Nampak encik bawa parcel ni pun dah cukup pelik, inikan pula berniaga cadar. Biar betul encik…takkanlah…’

Lebih kurang begitulah kata-katanya. Nampak sangat dia memang macam payah nak percaya. Tapi masalahnya, dia harus percaya kerana semua itu terjadi di depan matanya.

“Apa pula peliknya…biasalah. Ramai lagi la orang buat macam ni.”

“Itu orang…tapi encik…”

Saya tak salahkan dia. Yang salahnya saya juga. Saya yang memberikan gambaran awal – sehingga berubah menjadi keyakinan dia dan orang lain – bahawa saya bukan orang yang sesuai membuat kerja-kerja ‘berat’ macam ni.

Satu pihak lain yang bersalah ialah masyarakat. Cara berfikir masyarakat kitalah, yang zaman berzaman tak banyak sangat berubahnya, mengasuh hamba Allah itu untuk berfikir seperti mereka, yang majunya bermakna; selangkah ke hadapan dan dua langkah ke belakang.

Saya pasti esok lusa, malah mungkin juga sejak siang tadi, telah mula heboh di mana-mana saya ‘angkat bungkusan’ dan  saya ‘jual cadar’. Akan bertambahlah bilangan yang tak percaya.

Saya sebenarnya menanti untuk ditanya, dan bersedia juga untuk menjawabnya. Saya akan beritahu mereka, saya lakukan semua ini kerana saya rasa ia membahagiakan saya.

Saya pernah di situ; di tempat yang ada hampir segala yang pernah saya, dan rasanya ramai orang lain impikan. Jangan tersilap,  saya tak maksudkan kayangan. Saya tak layak untuk duduk setinggi itu. Malah, mungkin juga tak sampai ke awan. Namun, harus saya akui tempatnya agak tinggi.

Kata orang, semakin tinggi kita naik, semakin sakit kalau kita jatuh. Saya ni penggayat. Saya takut jatuh. Jadi sebelum terjatuh, sebelum pokok tumbang, saya turun dulu.

Tempat tinggi itu memang best. Saya gembira di situ, tetapi saya tidak bahagia.

Sekarang saya merayap di tanah; merangkak. Saya yang memilih untuk begitu.

Di sini, di atas tanah ini saya berjaya mengecap satu perkara yang saya cari-cari sejak sekian lama, perkara yang saya tak temui di atas sana: bahagia.

Saya sukakan cara hidup ini.

Yang lebih penting lagi, saya suka perniagaan ini.

Tetapi, kenapa cadar?

Nantilah, kita cerita lain kali…

10
Feb
11

Sorry…

Maaf sangat-sangat kalau blog ni tak diupdate sehari dua ni.

Tak sempat. Terpaksa turut turun padang. Banyak sangat delivery.

Mudah-mudahan lewat petang atau malam nanti dapat muncul semula dengan cecehan baru.

Tkasih.

 

*Kalau ada apa-apa kemusykilan, call atau SMS aje ke 019 2094043. Sejarah membuktikan saya tak pernah jawab call/sms, hatta pada pukul 2, 3, 4 atau 5 pagi. He3x…

09
Feb
11

Promo ‘couple-couplelan’

Pencinta bahasa mungkin berasap bila baca tajuk di atas. Mencemarkan. Memang pun. Kami akui. Kecuali ‘lan’, tiada sepatah haram pun perkataan Melayu. Yang ada cuma perkataan daripada bahasa orang lain  yang di ‘melayukan’.

Tak ada peliknya kan? Yang peliknya, kalau orang lain menjadikan bahasa, budaya dan adat resam kita sebagai ikutan mereka. Bayangkan Orang Putih berebut-rebut nak pakai kain sarung, macam orang kita berebut-rebut tak mau pakai kain ala-ala orang depa…

Lupakan soal itu. Kita nak bercerita tentang cadar bukan tentang bahasa dan budaya. Di kandang kambing, biarlah kekal menjadi kambing.  Kalau cuba-cuba jadi harimau, silap-silap orang tembak.

Apa yang dimaksudkan ‘promo couple-couplelan’?

Kalau nak tau, esok pagi cuba jenguk galeri kami. Ada suatu promosi istimewa menanti anda di sana… rajin-rajinlah klik kat sini ye…

 

07
Feb
11

HARI YANG ‘MERIAH’…

Mazlina…

Atirah…

Yani…

Siapa lagi?

Meor.

Yatie.

Ada lagi…

Rozie…

Shirmi… Eilene… Zubir…

Itu saja setakat ni. Petang nanti, entahlah. Rezeki itu ketentuan Allah, berusaha itu sahaja hak kita.

Cuti panjang menyebabkan banyak pesanan tertangguh. Dan inilah hari untuk menyempurnakannya.  Maka meriahlah jadinya, apa tah lagi pembantu pula masih bercuti (mengalahkan mereka yang beraya…hehe).

Apa pun, mudah-mudahan semuanya sempurna dipos hari ni…




Archives


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.